(: jom jadi sahabat MAWAR :)

jom turun~

jom turun~

Sunday, October 4, 2009

Muslimah, di bahumu ada harapan.

Muslimah, di bahumu ada harapan.

Persis permata bernilai, muslimah sejati digambarkan sebagai seorang wanita Islam yang mempunyai akhlak yang mulia, sopan tutur bicaranya, terjaga maruah dan kehormatannya serta yang paling utama iman sentiasa dipelihara agar terus subur dan mekar di dalam jiwa. Ringkasnya, kalimah keramat ini mempunyai pelbagai pentafsiran dan pengertian yang mendalam malah tidak termampu diterjemahkan dengan kata-kata. Sebagaimana sabda nabi junjungan s.a.w yang bermaksud : “Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” Betapa besarnya kedudukan muslimah yang solehah ini melebihi dari segala perhiasan di dunia dan seluruh isinya.

Menyoroti sejarah kegemilangan Islam, lahirnya ramai tokoh-tokoh pejuang muslimah yang berjiwa besar, mempunyai keimanan yang teguh lagi utuh, semangat jihad yang tinggi hingga sanggup mengorbankan apa sahaja demi membuktikan kecintaan terhadap Allah dan Rasulnya. Hasil kejayaan pentarbiyyahan Baginda s.a.w terbukti dengan lahirnya barisan muslimah yang menabur jasa yang bukan sedikit pada dunia Islam antaranya Saidatina Khadijah, merupakan isteri juga pendorong utama dakwah Rasulullah s.a.w, Saidatina ‘Aisyah ketokohannya yang tersohor di kalangan para sahabat dalam bidang Hadith dan Fiqh, Fatimah al-Zahra’ permata yang meneruskan perjuangan ayahandanya, Khaulah al-Azwar srikandi di medan perang, Asma’, pemilik dua tali pinggang dan Zinnirah, merupakan seorang hamba yang tabah dan cekal dengan nikmat iman yang subur dalam dirinya. Zaman demi zaman membawa kepada pertambahan bilangan pejuang-pejuang Islam seiring perkembangan Islam ke serata alam. Sarjana Barat melihat bahawa zaman Rasulullah s.a.w sebagai zaman yang menakjubkan kerana Baginda telah berjaya menghasilkan satu kelompok manusia yang bukan sahaja berkuantiti malah berkualiti dalam pelbagai aspek dan bidang hanya dalam tempoh yang singkat.

Apabila ditelusuri jasa dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh srikandi penegak panji Islam, tidak tergambar keperitan dan kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh mereka demi menyelamatkan iman dan deen tercinta. Segala cabaran dan rintangan yang ditempuhi tidak sedikitpun melemahkan semangat dan mengurangkan keyakinan mereka terhadap risalah yang dibawa oleh kekasih Allah, apa yang diharapkan hanyalah keredhaan Allah semata-mata dan syahid menjadi cita-cita utama. Sebagaimana penyiksaan yang diterima oleh Zainab al-Ghazali, dipenjara dan disiksa dalam pelbagai bentuk penyiksaan yang memeritkan. Ini sedikitpun tidak menggentarkan beliau, malah kesan kebenaran yang dibawa, beliau berjaya mengIslamkan seorang lelaki yang ditugaskan untuk menyiksanya di penjara!

Muslimah era globalisasi kini terdedah kepada pelbagai ujian dan cabaran yang semakin rencam dan kompleks. Persediaan yang lebih rapi dan bekalan yang mencukupi adalah amat diperlukan bagi mengharungi segala tribulasi yang mendatang. Melihat kepada skop selaku mahasiswi Islam, penguasaan ilmu sangatlah penting bukan sahaja di dalam bidang yang diceburi, tetapi juga dalam bidang lain seperti perkomputeran, pengurusan, pentadbiran dan bidang-bidang yang melatih kepakaran mereka. Dengan penguasaan dan kemahiran dalam ilmu-ilmu asas dan ilmu-ilmu bantu ini, maka, dunia Islam mampu melahirkan intelektual Fiqh yang menguasai bidang pengurusan, pegawai agama yang mahir dalam bidang IT dan multimedia juga pendakwah yang mampu berbicara mengenai bidang politik dengan baik.

Mahasiswi Islam juga perlu menyedari bahawa tanggungjawab yang terpikul di pundak mereka bukanlah sekadar sebagai seorang penuntut ilmu semata-mata, hidup di alam kampus bukanlah hanya bermain dan berlegar di bilik-bilik kuliah dan perpustakaan sahaja, tetapi lebih mencapah dan meluas dari itu. Penafian untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial dan persatuan, akan merencatkan perkembangan kemahiran dan menipiskan ruang pengalaman dan pertambahan ilmu luaran yang tidak mungkin diperoleh di dalam kuliah mahupun tutorial. Oleh itu, mahasiswi Islam ataupun muslimah harapan ummah ini hendaklah bergerak jauh ke hadapan dan bersikap lebih optimis terhadap segala tindak-tanduk dalam menghadapi arus maha hebat ini.

Muslimah yang ideal merupakan seorang muslimah yang berperanan besar dalam masyarakat. Ia bertindak sebagai seorang pelajar di medan keilmuannya, seorang anak yang berbakti kepada kedua ibu bapanya, seorang isteri yang taat kepada suaminya, seorang ibu yang gigih mendidik dan sabar dalam menghadapi kerenah anak-anaknya, seorang hamba yang patuh kepada perintahNya dan juga seorang pendorong dan pendokong dalam memperjuangkan agama Allah. Peranan-peranan ini merupakan suatu amanah yang cukup besar, memerlukan keteguhan dan kekentalan jiwa, serta kekuatan iman dalam menghadapi segala ujian dan semangat pengorbanan yang tinggi dan tidak berbelah bagi. Maka benarlah ungkapan tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.

Muslimah sebagai tangan dalam perjuangan, perlu seiring dalam membawa wadah Islam dan bersama-sama dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Peranan muslimah sebagai sayap kiri dalam membawa syari’at Islam perlu dimainkan dengan sebaiknya. Kejayaan dalam menyebarkan risalah kebenaran ini bukan dipertanggungjawabkan ke atas kaum Adam sahaja, tetapi kaum Hawa juga punyai peranan dan tanggungjawab yang tidak boleh diperkecilkan. Maka dengan ini, barisan muslimah harapan ummah perlu bangkit dan bersaing dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Muslimah solehah, inspirasi ummah, hadirnya mampu membawa sinar di dalam sesebuah masyarakat. Segala kesenangan merupakan ujian, dalam mengharungi kehidupan, menuju kebahagiaan yang lebih hakiki dan abadi. Muslimah sejati menyedari diri sebagai fitnah dunia, sedaya upaya menjauhi dan menghindari agar maruah agama terpelihara dan kehormatan diri terjaga dari nafsu yang menggoda. Sabda Baginda s.a.w yang bermaksud : Tidak aku tinggalkan kepada ummatku selepasku fitnah yang lebih besar ke atas lelaki melainkan wanita.” Cukuplah sabda Baginda s.a.w menterjemahkan segala-galanya…

Muslimah puteri harapan merupakan lambang kegemilangan Islam. Muslimah srikandi perjuangan mampu menyaingi lelaki dalam berbakti dan berkorban. Muslimah yang sejati, dunia bukanlah pilihannya, kerana akhirat medan utama. Kekayaan dan kemewahan hidup bukanlah impiannya, tetapi pengorbanan menuju cinta Ilahi dan syahid di sisiNya adalah matlamat mereka.

Muslimah harapan ummah, di bahumu terpikul amanah……!

No comments:

Post a Comment