(: jom jadi sahabat MAWAR :)

jom turun~

jom turun~

Sunday, September 20, 2009

Adab Menyambut Aidilfitri


Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadan Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah', di mana Allah menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur dengan perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-perayaan yang lain, kerana ia merupakan kurniaan Allah khusus kepada hamba-hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syarak untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan solat fardu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa-apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

Imam Syafie r.a telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang sahih.

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagungan-Nya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya.

Firman Allah Ta'ala:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah: 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd r.a bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Aidiladha. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebaik-baiknya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias.

Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya.

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a beliau berkata:
Maksudnya: Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'in (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan, "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima-Nya daripada awak.
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
untuk buletin Raya klik...www.srikandimawar-buletin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment